DEBAT KEMERDEKAAN 2006: “SILENT ROUND” PERLU DIMANSUHKAN
Thursday, August 17th, 2006Oleh: Wan Rohimi Bin Wan Daud
“Silent Round” atau pusingan bisu adalah melibatkan pusingan terakhir liga yang mana keputusan perlawanan tidak akan diumumkan pada hari tersebut, atau sebaik sahaja perlawanan ditamatkan. Dalam pusingan “power-match” yang biasa diamalkan dalam pertandingan debat beberapa waktu itu, “silent round” biasanya akan melibatkan pusing ke-6, iaitu pusingan terakhir sebelum carta kedudukan pasukan dapat dikemaskinikan bagi memastikan kedudukan terkini keseluruhan pasukan yang bertanding. Carta kedudukan pasukan ini amat penting bagi mengenalpasti pasukan-pasukan yang mendiami 8 tangga teratas untuk layak ke peringkat suku akhir. Bahkan, selalunya carta pada pusingan ini akan menentukan kedudukan pasukan dari tangga teratas hingga ke lapan, dan dengan itu akan menentukan lawan setiap pasukan ke suku akhir. Berdasarkan sistem “power-match” pasukan ditangga teratas akan bertemu pasukan di tangga ke-8, pasukan No.2 akan berentap dengan pasukan No. 7, pasukan No. 3 akan bertarung dengan pasukan No. 6, dan begitulah pasukan No. 5 dan No. 4. Lebih penting lagi, berpandukan carta ini juga, setiap pasukan akan dapat meramalkan laluan mereka sehingga ke pentas pertandingan akhir sekiranya mereka berupaya melepasi dua halangan pada peringkat suku dan separuh akhir.
Oleh kerana carta kedudukan pasukan selepas tamatnya liga 6 pusingan begitu penting dalam menentukan keseluruhan peta pertandingan, sudah tentu penelitian yang rapi dan waras, serta memberikan keadilan kepada semua pasukan, sewajarnya diambilkira oleh pihak penganjur atau jawatankuasa teknikal hakim sebelum menggubal beberapa peraturan yang mengikat sistem “silent round”. Selalunya, alasan mudah dan ringkas, semudah dan seringkas malasnya sesetengah jawatankuasa teknikal hakim untuk berfikir dengan lebih terperinci dengan mempertimbangkan sedalamnya kesan dan implikasi yang bakal terundang, adalah untuk memastikan kehadiran “audien” atau penonton dari kalangan pasukan-pasukan debat yang telah tewas dan tidak layak bertarung pada peringkat suku akhir, untuk memenuhi dan memanaskan kerusi-kerusi dewan pertandingan suku dan separuh akhir. Maka dengan itu terdetiklah di kotak fikiran jawatankuasa teknikal hakim, untuk mengamal sistem “silent round”. Maksudnya, sebaik sahaja selesai pertandingan pusing terakhir, katakanlah pusinga ke-6, para pendebat boleh terus meninggalkan dewan perdebatan tanpa perlu menunggu keputusan. Keputusan pertandingan tersebut tidak akan diumumkan. Hakim dilarang dari mengumumkan keputusan, pendebat pula dihalang dari mengetahui kedudukan pasukan mereka, yang terkini. Lantas kertas-kertas yang mengandungi keputusan perlawanan tersebut akan diangkutkan oleh “runner” atau urusetia dan diserahkan kepada ketua teknikal hakim.
Mudah bukan? Dengan merahsiakan keputusan pusingan terakhir tersebut, banyak pasukan yang tidak dapat meramalkan apakah pasukan mereka layak atau tidak untuk meloloskan diri ke pertandingan suku akhir, yang selalunya diadakan pada keesokan harinya. Hendak atau tidak, mereka terpaksa hadir pada keesokan hari untuk memenuhi dewan pengumuman kedudukan terkini carta pasukan, dan pengumuman 8 pasukan yang layak ke peringkat suku akhir. Bagi pasukan-pasukan yang mungkin memenangi banyak perlawanan awal (katakanlah bagi 3 pasukan teratas carta), sudah tentu mereka yakin dan tahu bahawa pasukan mereka akan layak ke suku akhir. Tetapi masalah yang menimpa mereka ialah, untuk meramal pasukan mana yang akan menentang mereka pada peringkat separuh akhir. Bagi pasukan yang bakal mendiami carta terbawah, atau katakanlah dari kedudukan No. 6, 7, dan 8 carta, sudah tentu tidak ramai yang mampu meramalkannya kerana pada kebiasaanya, pasukan yang berada pada carta ke 6, 7, 8, 9, dan 10, tidak mempunyai banyak perbezaan dari segi margin dan juri yang diperolehi.
Benar! Sekali imbas peraturan sedemikian ada kebaikannya dari segi mengawal kehadiran semua pasukan ke majlis pengumuman pasukan yang layak ke suku akhir dan sekaligus diharap dapat menyaksikan perlawanan suku akhir. Tetapi sistem “silent round” jelas memberikan kelebihan kepada pihak-pihak tertentu sahaja dan banyak merugikan hampir keseluruhan pasukan yang lain, serta tidak membantu usaha untuk meningkatkan kualiti debat. Jika “silent round” diilhamkan hanya untuk mengikat disiplin pendebat, saya tidak fikir pendebat-pendebat kini terlalu teruk disiplinnya. Berdasarkan pengamatan kepada “nature” kehidupan, semangat, intelek serta sikap setiap pendebat yang hadir ke mana-mana pertandingan sebagai “duta” kepada universiti-universiti mereka, saya percaya mereka adalah kelompok yang terpilih dan mempunyai disiplin yang tinggi. Jika pun kecenderungan ini tidak dapat diterima, saya berpendapat banyak cara lain boleh difikirkan untuk mengikat disiplin pendebat, dengan tidak merugikan mutu debat dan membiakkan ketidakadilan terhadap pasukan-pasukan debat, dengan syarat jawatankuasa teknikal mestilah serius memikirkannya. Bukan hanya dengan mengambil jalan mudah dengan memperkenalkan pusingan “silent round”, agar dengan itu banyak masa yang lain boleh digunakan untuk keseronokan peribadi semata-mata.
Dengan hormat kepada mana-mana urusetia mahu pun jawatankuasa teknikal debat, saya ingin menyatakan “silent round” adalah bersifat menindas, menekan, membantutkan cita-cita MADUM untuk melahirkan perdebatan yang berkualiti, bahkan lebih teruk lagi peraturan ini akan hanya cenderung untuk dimanipulasi oleh satu dua pasukan sahaja. Ia bergantung pegawai dari universiti mana yang bertugas sebagai ketua tenikal hakim.
Dengan mengambil contoh Debat Alam Sekitar 2006 yang baru sahaja tamat, semua pendebat dan dunia debat mengetahui bahawa pegawai yang bertugas sebagai Ketua teknikal hakim adalah pegawai dari UIAM. Namanya tidaklah penting untuk saya sebutkan! Dalam konteks ini, UIAM mendapat kelebihan awal untuk mengetahui kedudukan terkini pasukan mereka dalam carta liga, walau pun mereka tewas kepada UM dalam perlawanan pusingan ke-6. Dengan mengetahui carta tersebut, UIAM bukan sahaja telah lebih 15 jam awal (dengan mengambil kira waktu tamat pertandingan pusingan ke-6 pada jam 5 petang 30-7-2006, dan waktu pengumuman carta terkini jam 8 pagi keesokannya) mengetahui keseluruhan kedudukan terakhir pasukan, bahkan dapat mengetahui siapa lawannya, dan meramalkan laluannya untuk ke pentas final. Saya tidak fikir pegawai UIAM tersebut sejujur itu untuk tidak memaklumkan kepada pasukannya sendiri tentang carta terkini kedudukan pasukan tersebut. Sudah tentu dengan kelebihan ini, sepanjang malam UIAM dapat menyediakan persiapan yang rapi sekurang-kurangnya mengadakan “post-mortem” dan menganalisa bakal lawan pada keesokan harinya. Atau sekurang-kurangnya mental pasukan dapat digilap berasaskan lawan yang bakal diratah, bukan sahaja pada peringkat suku akhir, tetapi juga melibatkan peringkat separuh akhir yang dijadualkan pada hari yang sama.
Saya tidaklah berhajat untuk menanam benih prejudis, tetapi bayangkanlah, satu senario pertandingan yang mana seorang pegawai sahaja yang menyimpan keseluruhan markah dan keputusan perlawanan, yang menentukan laluan seluruh pasukan yang layak ke peringkat suku akhir. Benar! Tiada yang berani mengubah keputusan hakim, tetapi siapa yang dapat memberikan jaminan bahawa juri tidak boleh dicuri, margin tidak boleh dibesar atau dikecilkan. Dengan itu, walau sebesar zarah pun perbezaan margin dibuat, ia tetap akan mengubahkan carta kedudukan pasukan! Tentunya dapat mengubah laluan pasukan sendiri. Ini adalah satu igauan yang bakal mengerikan. Barangkali belum pernah berlaku, dan barangkali juga akan berlaku, jika situasi mendesak individu untuk meletakkan iman melampaui sempadan kekufuran! Apalah yang dapat kita yakini, apabila hanya seorang individu ditugaskan untuk mentadbir amanah yang melibatkan kareer dan periuk nasi sendiri. Kata bijak pandai, “absolute power, corrupt absolutely!”.
Benar. Pasukan yang kuat atau mendiami carta teratas, atau kedua teratas tentulah tahu dan yakin mereka akan layak ke suku akhir. Tetapi bagaimana halnya dengan pasukan yang bakal mengisi carta ke-6, 7 dan 8. Dengan samarnya penghuni carta No. 6, 7 dan 8, begitulah juga samarnya penghuni teratas liga untuk mengetahui lawannya pada suku akhir, untuk menelah nasibnya hingga ke pentas akhir. Sekali lagi dengan mengambil contoh Debat Alam sekitar 2006, di saat UIAM sudah mengetahui keseluruhan laluan yang bakal dihadapi, pasukan lain-lain sudah tentu tidak dapat memberikan perhatian untuk menggunakan sepenuhnya malam sebelum suku akhir, untuk membuat persiapan. Hendak bersungguh-sungguh, takut nanti membuang masa. Jika tidak langsung membuat persiapan, takut nanti terlepas ke suku akhir. Begitulah resamnya gelodak jiwa pasukan-pasukan yang bakal mengisi carta terbawah liga. Hendak ditelan terasa pahit, dibuang terasa sayang! Akhirnya, pasukan-pasukan ini hanya membuang masa dengan persiapan yang tidak mempunyai agenda yang jelas. Jika banyak pasukan tiada persiapan, apakah kita yakin kualiti debat akan meningkat? Apakah ketua teknikal hakim merasakan dengan memperkenalkan “silent round” ini, maka beliau menyumbang sesuatu yang berguna kepada mutu dan kualiti debat? Atau hanya sekadar memudahkan kerjanya sahaja untuk memintas kehadiran pasukan yang tidak layak ke suku akhir? atau sekurang-kurangnya merasa bangga dan puas kerana membuatkan semua pasukan, pegawai-pegawai universiti lain tertekan sepanjang malam dan serba salah dalam semua keadaan, sedangkan pasukannya sendiri sudah begitu tekun membina kekuatan? Atau, apakah ini sebahagian dari ramuan untuk menjadi Juara?
Oleh itu, saya berpendapat sistem “silent round” ini amat perlu dimansuhkan! Apa salahnya semua pasukan mengetahui nasib mereka untuk ke perlawanan suku akhir lebih awal, dan dengan itu mereka dapat menggunakan masa 12 jam sepanjang malam, untuk membuat post-mortem pasukan, menganalisa tajuk suku akhir dan separuh akhir, menganalisa kekuatan dan kelemahan lawan yang bakal dihadapinya, membina “mental block”, mencari fakta-fakta yang relevan, atau sekurang-kurangnya mengadakan solat hajat untuk memohon restu dan hidayah dari Illahi. Tentunya terlalu banyak lain-lain hal yang berkaitan dengan persiapan pasukan boleh dibuat. Fokus kepada persiapan ini sudah tentunya akan menajamkan pengamatan pendebat ke atas sesuatu usul yang bakal dibahaskan, dan pada analisa terakhirnya mutu dan kualiti perdebatan akan lebih meningkat.
Bukankah mutu dan kualiti perdebatan adalah matlamat terakhir perjuangan kita?
KOMEN
1) tak pernah terfikir pulak bahawa kewujudan silent round ataupun pusingan bisu (i would prefer to term it as ‘pusingan senyap’ sebab ’silent’ maknaya senyap…kalau bisu org panggil ‘mute’…hehehe) tersebut akan memberikan faedah yang sebegitu. sebab selama ni tak pernah pikir pun nak lawan ngan sapa…yang penting buat yang terbaik untuk layak ke next round and sapa sahaja yang kita jumpa kita kena lawan habis2an…inilah yang diajar oleh SEMUA mereka yang pernah mengajar aku…sama ada di zaman ‘emas’ atau pun tidak.
2) tak taulah sama ada terlalu remote atau terlalu sofiskated, tetapi terlalu sukar untuk kaitkan antara pengenalan ’silent round’ and kualiti disiplin pendebat. adakah pendebat dahulu lebih berdisiplin sebab tak perlukan silent round, dan pendebat sekarang tidak berdisiplin sehingga perlukan silent round untuk memastikan mereka hadir ke tempat pengumuman.
3) merujuk para 6, kelakar jugak andaian ini…walaupun secara faktanya memang pegawai UIAM tak pernah nak bagitau (tapi ada ke orang nak caya???…hhhmm….), apa kelebihan yang bakal diperoleh? adakah kita akan lebih kuat kalau kita tau sapa lawan kita lebih awal???? hahaha…..hhmm…malas nak komen panjang2….kalau macam tu setiap kali pegawai UIAM jadi ketua hakim maka PASTILAH UIAM akan muncul juara sebab dah tau kedudukan carta lebih awal..(berapa? 15 jam? betul jugak coz pendebat ni bukan buat benda lain, asyik dok pikir nak lawan siapa saja.) tapi pelik jugak naper royal 2005 lepas UKM tak champ? DAS 2005 UTM tak champ??? LLM UIAM tak champ? intergriti 2006, UIAM bukan setakat tak champ, suku pun tak lepas???? Bukankah dalam semua pertandingan tersebut,pegawai dari kesemua University yang disebut tadi jadi ketua hakim???? and silent round sytem applied….So, apakah asas andaian tersebut?????
4) on the point that debaters will not be able to come out with a good and briliant case because tak dapat buat preparation akibat semalam dijamah kerisauan dan kekusutan memikirkan adakah layak atau tak untuk masuk suku akhir pada keesokan harinya (rujuk para 8). Setahu saya (dan semua orang tahu kot…) DAS adalah debat yang memberikan tajuk awal…so kalau macam tu, sudah pastilah semua orang dah bersedia dengan semua tajuk sebelum sampai ke universiti tuan rumah lagi. takkan malam nak lawan suku baru terhegeh-hegeh nak cari fakta???? maknanya kalau masuk buat la research, kalau tak masuk tak payah la..buat rugi je…baca penat2 bahan yang ada kaitan ngan tajuk suku tapi tengok2 tak masuk suku pun!!…hhmmm…itu rupanya pendebat…maaflah mungkin orang lain (kalau pun ada) tapi yang pasti bukan saya dan mana pendebat UIAM yang lain….kalau pun malam tu baru nak sungguh2 nak cari fakta, adaka nak cari fakta sebab esok nak lawan semata-mata?? mana keihklasan dalam membuat pembacaan?? mana kerajinan yang luhur bahawa penyertaan dalam debat akan memupuk nilai mebuat kajian tanpa mengharapkan balsan dan alsan! bukankah ini amaln yang ditekankan oleh SEMUA yang melatih saya sama ada di zaman emas ataupun tidak?
Malah dalam tulisan AKADEMIDEBAT.COM bertajuk UIAM DI PERSADA KEMEGAHAN , ‘Benar. Ramalan saya meleset. Jauh dari realiti sebenar. Sewaktu membuat ramalan yang menyakitkan itu, saya terlupa hakikat bahawa Debat Alam Sekitar adalah sebuah pertandingan debat yang memberikan ruang kepada pendebatnya membuat persiapan awal. Tajuk-tajuk diberikan sebulan sebelum pertandingan menjelma, akan membolehkan keseluruhan tenaga kejurulatihan diperah untuk berfikir dan membuat kajiselidik tentang kes, pendekatan dan fakta-fakta yang relevan. Sesudah itu ahli-ahli kelab akan diarah mencari fakta sebanyak mungkin untuk disuap ke setiap mulut pendebat. Tugas pendebat tidaklah sukar, setelah mendapat segala-galanya atas keringat orang lain, maka dikunyah-kunyah dan dimuntahkan kembali di pentas pertandingan. Sepanjang pertandingan itu, saya melihat pasukan UIAM membawa sekurang-kurangnya satu bas pasukan penyokong (yang biasanya akan bertugas mencari fakta). Anda tentu boleh bayangkan satu bas pencari fakta yang membantu anda, yang kekuatannya sama dengan membawa satu bangunan perpustakaan UIAM ke Universiti Sains Malaysia. Jika anda masih tewas di peringkat suku akhir, sudah tentu anda adalah pendebat yang paling tidak berguna.‘. Maknanya pendebat sudah sepatutnya bersedia semasa berada dalam waktu pertandingan lebih2 lagi pertandingan yang dapat tajuk awal….
5) on the basis that, having silent round will only in a way merendahkan mutu debat….hhmm…mudahnya argument ni kan…kalau macam tu English World Debating Championship memang tak berkualiti! Rasionalnya silent round tu adalah kejutan yang dicedok daripada English Debate. kalau macam tu pertandingan paling rendah kualiti dan niai inteleknya adalah pertandingan ‘mooting’. Lebih2 lagi Phillip C Jessup Moot Court Competition. bukan sahaja pusingan terakhir di peringkat awal adalah silent round, tetapi SEMUA pusingan adalah silent round!!!!! patut la Melati Adbul Hamid (Jurubicara Terbaik Dunia yang kini melanjutkan pelajaran peringkat master di HARVARD) tak mempunyai ketajaman pemikiran dan tidak berupaya berfikir dengan kritis kerana beliau hanya menyertai pertandingan yang ada silent round! patutlah Siti Aliza Alias (teamate melati) graduated ngan kelas pertama sebab diorang masuk pertandingan yang sistemnya tidak meningkatkan keupayaan berfikir!!!!!
Kesimpulannya, secara peribadi saya melihat kewujudan pusingan silent round antara lain bertujuan menambahkan debaran dan excitement dalam pertandingan debat…dan kalaupun ia bertujuan menarik kedatangan audience, for me, without bias and prejudice, theres no harm with that..bagusla macm tu…about abusing the power and privileges conferred to the chief adjudicator, i just dont think i’m at the proper position to comment….abuse of power may take place not only when u r at the top, but it may occur even at the vey lowest level of society. Whatever it is, to the proposal that having silent round will only stand as a hindrance to better preparation resulting to lowering down debate quality,and give advantage to university which its officer is the chief adjudicator, with due respect, i beg to differ!