Politik Baru? Hmmm…

Pada tanggal 20 januari yang lalu, bertempat di Hotel Shangri-La Putrajaya, Y.A.B Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak melancarkan buku Politik Baru:Mematangkan Demokrasi Malaysia karya Dato’ Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) merangkap ahli Parlimen Termeloh. Amat jarang bagi pemimpin di negara ini menulis. Apatah lagi sekiranya tulisan tersebut berkisar mengenai lumrah politik semasa. Jadi tidak hairanlah, ramai tetamu yang hadir berpendapat majlis pelancaran tersebut mungkin boleh disifatkan sebagai manifestasi kesediaan para pemimpin kini untuk mengubah pendekatan dan fokus dalam berpolitik. Politik Baru merupakan sebuah buku yang menggarapkan pelbagai langkah baru yang perlu diambil dan segala amalan lapuk yang perlu segara ditinggalkan jika Barisan Nasional atau UMNO khususnya ingin terus kekal relevan dan diterima rakyat.

Malah, dalam ucapan pelancaran oleh YAB TPM, beliau menyatakan dengan jelas tentang sikap dan imej segelintir pemimpin UMNO yang kurang disenangi oleh rakyat. Ucapan beliau sudah cukup menggambarkan bahawa pemimpin atasan negara semakin sedar akan kegagalan mereka untuk menawan hati rakyat. Ironinya, dalam liputan berita yang disiarkan stesen TV tempatan pada 22 haribulan lalu (Khamis), Menteri Besar Terangganu, Dato’ Ahmad Said, dengan yakinnya mempertahankan bahawa faktor utama kekalahan pilihanraya kecil pada 17 Januari lalu berpunca daripada turunnya peratusan penduduk yang keluar mengundi. Percanggahan pendapat ini boleh menjadi bukti kukuh, tidak ramai pemimpin hari ini yang sedar kelemahan masing-masing. Kita boleh mula bertanya, berapa kerat sahaja pemimpin hari ini yang akan bersedia menerima hakikat bahawa pendekatan dan amalan politik yang mereka pegang selama ini sudah ketinggalan zaman? Atau, tidak mustahil Dato’ Saifuddin Abdullah dengan Politik Baru yang dicanangnya, akan hanya menjadi satu paluan gendang yang iramanya tidak disahut teman sepermainan sendiri?

Sekiranya dikaji intipati Politik Baru yang ditulis beliau, segalanya kelihatan kena pada masanya. Misalnya, buku ini menyarankan agar budaya politik ampu yang selama ini dijunjung oleh sesetangah kelompok digantikan dengan politik ilmu. Pandangan sedemikian sudah pastinya bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan anggota masyarakat kelas pertama dengan pemikiran glokal sekaligus mampu memacu Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020. Sekali lagi, persoalannya, sejauh manakah politikus hari ini, terutamanya UMNO, mampu memastikan budaya ilmu benar-benar diangkat? Kita tidak perlu pergi jauh sehingga ingin meneliti latar belakang pendidikan seseorang pemimpin yang kita pilih.

Akan tetapi, saya amat yakin dan percaya, adalah tidak keterlaluan sekiranya kita, sekurang-kurangnya menjadikan keseriusan seseorang pemimpin itu untuk mengambil pusing isu-isu semasa dan keupayaan untuk berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Inggeris sebagai indikator yang wajar dan adil. Bukankah sesuatu yang amat memalukan sekiranya, tatkala kita begitu lantang memperjuangkan keperluan dan kebaikan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), masih wujud pemimpin hari ini yang mempunyai tahap penguasan bahasa Inggeris yang begitu mengaibkan. Malah dalam keadaan tertentu, tingkah dan ucapan ahli politik kini mampu mengundang rasa muak dan mual di kalangan rakyat.

Dan, pastinya kita akan lebih berasa canggung seandainya pemimpin sebegini boleh diangkat pada kedudukan yang tinggi dalam struktur parti. Senario sebegini, sekiranya diteruskan akan hanya mengundang amarah dan kebencian yang memuncak di kalangan rakyat.

Mudahnya, sudah tiba masanya bagi semua pemimpin dan parti yang selama ini menjuarai perjuangan bangsa melakukan perubahan drastik yang begitu didamba-dambakan rakyat. Semua pihak pastinya mengharapkan kekalahan dalam pilihanraya kecil di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu sudah cukup menjadi hukuman dan bisa memberi pengajaran kepada Barisan Nasional. Akan tetapi, siapa tahu? Semoga gelombang Politik Baru, akan benar-benar membawa perubahan dalam iklim politik tempatan yang semakin suram warnanya, semakin seram sifatnya.

SELAMAT BERJAYA DATO’!

One Response to “Politik Baru? Hmmm…”

  1. SENSASI HOT RM Says:

    SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA KEPADA SEMUA UMAT ISLAM.

Leave a Reply